Ahad, 1 Jun 2014

Ziarah


Assalamualaikum..
Lama tidak menjenguk kesini. Terlalu lama. Barangkali sudah tidak ada yang sudi bertandang.  Sendiri membawa saya kembali ke ruangan ini. sepi dengan kesunyian? Tidak. Mengikut acuan kata Prof Muhaya, barangkali saya adalah orang yang paling suka dengan diri sendiri. Saya terlalu kerap menyendiri. Merasa senang untuk jauh dari manusia lain. Bukanlah menjadi makhluk anti-sosial. Sesekali ada juga menjenguk ruang komunikasi, cuma tidak mahu membiasakan diri dengan semua itu.

Untuk kali ini, saya sendiri tidak pasti apa yang perlu dicatatkan disini.
 Untuk berkisah tentang kehidupan sendiri? Agak mustahil apabila dengan bahasa lisan pun saya tidak pandai meluah kata.
 Untuk mengarang naratif sebuah kehidupan? Terasa janggal apabila saya sendiri masih mencari ‘siratulmustaqim’ dalam kembara kehidupan ini.
Untuk mengolah ilmu yang ada menjadi mata rantai dakwah? Bagaimana mungkin bila diri sendiri jahil dalam segala.
Mungkin saya patut biarkan sahaja jari-jemari ini berlari diatas papan kekunci. Membentuk bait kata, biar sedikit asal mampu memberi makna.

Untuk catatan ini, semoga ia menjadi pemula kepada sebuah perjalanan yang akan membuahkan istiqamah.
Teringat semasa baru-baru keluar dari pondok dulu, dalam  proses mencari kerja. Kakak mencadangkan untuk menjadi penulis novel. Saya tergelak sendiri. Alangkah. Andainya dia tahu kewujudan blog ini, mungkin dia tidak akan pernah sudi memberi cadangan bernas sebegitu. Macam mana agaknya keadaan novel tersebut sekiranya cadangan tersebut dilaksanakan. Dengan bahasa yang tunggang langgang, idea yang berterabur, bukan hanya memeningkan orang yang membaca, bahkan saya sendiri kadangkala terpaksa mengulangbaca berulang kali.Saya bukanlah pemilik jari magis, yang mampu  memukau pembaca sehingga ke titik akhir. Jangan dikata novel, tulisan proposal tesis yang penuh dengan bahasa professional pun berulang kali perlu dibetulkan.

Ya. Begitu sahaja. Tiada apa-apa yang menarik tentang kehidupan saya. Tetapi turun naik kehidupan ini pasti berbeza dari yang lain. Kerana Allah Ta’ala telah menetapkan kita dalam posisi yang tersendiri. Barangkali ujiannya seakan sama, tetapi peluang dan jalan usaha yang dibuka oleh Dia akan berbeza antara seorang hamba dengan hamba yang lain. Dengan pengertian itulah saya belajar untuk bersangka baik dengan yang lain. Hidup ini bukanlah sekadar tentang apa yang diperbuat, tetapi nilai sebenarnya terletak pada sekeping hati yang jauh dari pandangan mata zahir.

Mungkin sekadar itu dahulu. otak sudah kekeringan idea, jari-jemari sudah mula kaku. Sehingga ketemu lagi. 

Bila?
bila-bila sahaja, tika ada kerajinan yang menyinggah. InsyaAllah
Seeru 'ala Barakatillah

Tiada ulasan: