Khamis, 9 Julai 2015

Mendakap Kehidupan

Assalamualaikum..
Sesekali menyinggah. Syukurlah letaknya laman ini di ruang maya, jika berada di ruang fizikal, mungkin sudah bersawang terperuk disalah satu kotak kenangan.

Saya menulis kali ini untuk kenangan, sebaga simpanan dan peringatan buat diri. Semalam menerima khabar pemergian seorang sahabiah, yang pernah sama-sama berikrar untuk menjadi sahabat syurga, punya matlamat sama untuk Islam. Mungkin sudah puluhan, jika tidak mencecah ratusan tulisan yang didedikasikan untuk dia yang baru pergi. Saya sendiri masih cuba menahan diri untuk mengaktifkan kembali laman muka buku yang pernah dipadamkan dulu. Cukuplah saya mengenalnya sebagai seorang yang baik, tidak perlu untuk menambah kesedihan hati dengan membaca pelbagai coretan dari peribadi yang lain.

Aneh sekali rasa ukhuwwah ini, sejujurnya saya tidak mengenali beliau secara rapat. Hanya sesekali bertemu apabila berprogram, selepas tamat belajar langusng tidak bersua muka apabila masing-masing berpindah tempat dan bekerja, tetapi saat menerima khabar pemergiannya melalui sahabat-sahabat yang lain, seakan-akan sesuatu yang sudah melekat utuh dihati ditarik pergi. Seperti kehilangan ahli keluarga terdekat, yang setiap hari bertemu dan bertegur mesra. Sungguhlah Dia yang menghubungkan hati-hati hamba-Nya.

Allah, tulisan ini bukanlah untuk meratapi pemergiannya. Saya tidak layak untuk itu, dan sewajarnya ada orang lain yang lebih bersedih saat ini dengan pemergiannya.  Sekadar menjadi ingatan buat diri sendiri, yang kita hidup tidak menongkat langit. Kehidupan ini perjalanannya sehala, tiada siapa yang mampu mengubah aturannya. Dia berhak untuk memanggil kita bila-bila masa, kerana apa yang ada pada kita hanya pinjaman.

Nabi bersabda: Setiap muslim yang disaksikan sebagai orang baik oleh 4 orang, Allah akan memasukkannya ke surga. Kami (para sahabat) bertanya “kalau disaksikan 3 orang ya Rasul?” Rasul menjawab “Ya, 3 orang juga (akan masuk surga)”,   Kami (para sahabat) bertanya lagi “kalau disaksikan2 orang ya Rasul? Rasul menjawab “Ya 2 orang juga (akan masuk surga)”. Dan kami (para sahabat) tidak menanyakan mengenai kesaksian satu orang.  (HR Bukhari)

Wahai Allah, bersaksilah bahawa sahabatku itu baik dan selalu berbuat kebaikan. Peliharalah dia dari siksa kubur, berikanlah kelapangan kepadanya, dan himpunkanlah dia dikalangan para kekasih-Mu.

Dan untuk kali ini, pergilah engkau sahabat dalam dakapan Kekasih abadi, menuju kehidupan tanpa mati lagi, nantikan kami di syurga Firdausi, semoga kita berjiran dengan kekasih Rasulullah sallallahu'alayhiwasallam

Maaf, saya tidak mampu untuk menulis panjang untuk mengisahkan satu persatu kebaikan beliau, kerana saya pasti menipu apabila saya mampu bercerita tentang kebaikannya. Saya hanya mengenalnya sebagai seorang teman yang baik. Dan itu sudah cukup bagi saya.

Semoga kita bertemu kembali. Siapa tahu, mungkin selepas ini giliran encik suami yang mengupdate disini, memberi khabar tentang pemergian saya.

Doakan yang terbaik untuk semua, dalam kehidupan didunia dan diakhirat, kerana mati itu hanya sekali.



p/s: saya tidak tahu berapa ramai yang akan mendoakan saya apabila sampai saat untuk saya pergi nanti. mengenangkan kurangnya amal, dan banyaknya dosa, cukup untuk menjadikan hati resah dan perut memulas.

Isnin, 20 April 2015

Jejak

Assalamualaikum...

Kata orang yang sudah lama menulis, tulislah sesuatu dari hati untuk menyentuh hati yang lain. Ah, alangkah gusarnya. Adakah diri masih punyai hati???