Khamis, 9 Oktober 2014

Hari

Assalamualaikum..

Satu hari lagi yang berlalu dalam kehidupan, bermakna kematian juga semakin mendekat. Kerap kali saya terfikir, andai kematian menjemput saat ini, apa bekal yang telah saya siapkan? adakah saya tidak akan termasuk dalam golongan orang yang menyesal? adakah dengan kematian itu menjadi pengakhir bagi setiap dosa dan kesalahan saya? adakah dengan kematian itu jalan untuk kesyurga semakin terbuka luas? Bermacam persoalan singgah. Kadangkala saya merasakan seperti orang yang bodoh. Tahu bahkan sangat sedar bahawa mati itu pasti, tetapi diri masih lagi bermain-main dalam beramal soleh. Masih lagi menunda-nunda kebajikan yang perlu dilakukan. Masih lagi punya masa untuk bermaksiat kepada Allah. Masih lagi menginta-intai peluang melakukan perkara yang tidak bermanfaat untuk kehidupan akhirat.

Aduhai...
Alangkah sia-sianya sebuah kehidupan andai semua ini tidak dapat dimanfaat sebaiknya. Sia-sia nyawa yang dipinjamkan ke jasad andainya setiap peluang untuk berbuat ketaatan kepada Allah tidak diraih sepenuhnya.

Hari, yag panjang pendeknya bukan terhitung pada kitaran muka jam, tetapi diukur dengan keberkatan kurniaan Illahi. Berapa ramai yang bila sampai dihujung harinya termangu-mangu mencari kebaikan sendiri yang telah diperbuat? Berapa ramai yang kitaran hidupnya hanya sekadar memenuhi tuntutan fizikal duniawi semata-mata? dan berapa ramai yang tidak sedar akan masa yang berlalu kerana terlalu banyak tuntutan ummah yang perlu diselesaikan.

Muhasabah diri yang panjang.
Tanpa sedar, diri sendiri yang hanyut. Terlupa tentang hakikat yang maha penting ini. Sedangkan kata sahabat radiallahuanhu, "kematian itu lebih dekat kepadamu dari tali kasutmu".

Terlalu dekat, sehingga mereka sangat berhati-hati dalam tindak tanduk, takut andai ada satu saat mereka terlalai, saat itulah mereka dijemput bertemu Rabb Al-'Alamin.

dan untuk kali ni, saya ingin bertanya kepada diri sendiri, "Bagaimana saat kematianku kelak?"

"Wahai Allah, hidupkanlah kami dengan iman, matikanlah kami dengan iman, bangkitkanlah kami dengan iman dan masukkan kami ke syurga-Mu dengan iman, Aminn ya Rabb Al-'Alamin" 

Tiada ulasan: