Rabu, 3 September 2014

Lu' lu'

Assalamualaikum..

Perkara ni sudah ramai yang menegur. Tetapi masih banyak yang buat endah tak endah. Saya tidak mahu menghakimi sesiapa. Tulisan ini sebagai ingatan buat diri sendiri. Kerana saya sangat sedar, saya tidak mampu untuk mengubah orang lain, hanya DIA yang mampu.

Mutiara, Wanita dan Malu

Lu'lu'. Mutiara. Sebuah analogi yang indah buat wanita. Saya pun tidak tahu dimana pertama kali saya membaca tentang analogi ini. Tetapi setiap kali, analogi ini mampu membuatkan saya tersenyum apabila mengingat kembali kisahnya. Tidak perlulah saya menulis kembali analogi tersebut. Hanya berkongsi ibrah yang dapat saya kutip dari sebutir mutiara, yang semakin jauh mendiam didasar laut, semakin mahal harganya dan hanya layak untuk menjadi rebutan bagi yang benar-benar berkemampuan.

Itulah sebenarnya yang diinginkan oleh Pencipta yang Agung apabila meletakkan batas syar'ie dalam menjaga makhluknya yang bernama wanita. Disuruh menutup tubuh badannya, agar tidak mudah disentuh oleh tangan-tangan kotor. Dianjurkan menjaga pandangan agar tidak tertipu dengan pesona dunia. Diminta untuk berdiam dirumah agar diri tiada yang mengganggu.

Banyak kali mendapat pertanyaan dari pelbagai golongan, waima daripada mak cik-mak cik, yang sering menghujah, andai diri sentiasa terlindung bagaimana ingin dikenal? bagaimana ingin mendapat jodoh?

Sebelum saya berkisah tentang sebuah ceritera, mari kita lihat kembali tentang maksud disebalik soalan tersebut.

ingin dikenal dan ingin dikejar adalah salah satu talbis iblis yang sering menjerat kaum wanita. Jarang yang terselamat, banyak yang mendapat mudarat. Dengan menggunakan nafsu sebagai tunggangan, mereka menjadikan berlebihan dalam urusan dunia sebagai sesuatu yang baik. Kadangkala, mereka memakaikan topeng agama untuk memastikan golongan agamawan juga tidak terlepas dari jeratan ini. Wal'iyazubillah.

Kembali kepada kisah yang saya ingin khabarkan tentang seorang adik yang saya kenal di pondok dulu.
Biar saya namakan dia sebagai D. Semasa saya bertemu D, dia berumur 17 tahun, yang memiliki susuk badan yang agak berisi (tanpa niat sebagai celaan), berada di pondok sejak berusia 12 tahun, dan semenjak dari umur itu, purdah, telekung labuh dan jubah adalah pakaian seragamnya apabila berada diluar lingkungan mahram. Kehidupannya hanya berkisar di rumah, pondok dan masjid.  Sangat linear.

Suatu hari dia datang mengadu, didalam dilema untuk memilih pasangan hidup. Tiga lelaki, melamar dirinya melalui ibu bapa. Keliru dalam memilih. Saya tersenyum, mengagumi aturan Allah buat hamba-Nya. Saya akui pasti sukar andai berada dalam situasinya, tiga lelaki yang baik, dari keluarga yang baik dan melalui jalan yang benar. Yang menjadi penentu sekarang hanyalah jodoh semata-mata. Saya kelu dalam memberi cadangan. Lebur segala nasihat yang pernah dituturkan kepada yang lain. Istikharahlah, sesungguhnya sekarang ini yang punya jawapan hanya Allah Ta'ala. Ruang istisyarah kelihatan terlalu sempit untuk dilalui dengan akal manusia. Mudah-mudahan Allah membawa kepada yang akan membawa kamu ke syurga. Dalam bisikan saya bercanda "Kak Su yang hidup suku abad ni pun tak pernah dilamar sebegitu, Allah pilih awak untuk melalui semua ni sebab Dia sayang sangat pada awak, sampai tiga orang yang dihantar untuk menjaga awak"

Indah bukan aturan Allah. Apabila kita benar-benar menjaga diri, DIA yang akan membawa orang untuk membantu kita dalam menjaga diri apabila sampai masanya.

Begitulah muslimah kesayangan Tuhan,
Tidak disebut bukan maknanya tidak dikenal. Tidak dijulang bukan maknanya tidak dihormati. Kerana nilai sebenar seorang muslimah itu adalah syurga yang hakiki. Allah Ta'ala meminta wanita menutup diri agar tidak disentuh debu-debu dunia yang akan merosakkan keindahan seorang muslimah.

Mulai hari ini, mari kita menata kembali kehidupan kita. Jaga setiap gambar yang dimuat naik, jangan sampai ada mata yang jahat memandang penuh nafsu, atau lebih mudahnya tolong padamkan segala gambar yang menunjukkan kita itu adalah kita, kerana hakikatnya kita tidak mampu mengawal orang lain, pilihlah untuk mengawal sesuatu yang berada didalam kemampuan kita. Jaga tutur kata, walau hanya dengan emotikon, ianya boleh memberi kesan kepada yang memandangnya. Jangan terlalu cepat mengulas tentang sesuatu sebelum diketahui kesahihannya. Bekalkan diri dengan ilmu, kerana akhirnya setiap pilihan itu hanya tinggal dua; syurga atau neraka.

Dan ingatan terakhir buat diri, perlu selalu diingat, wanita itu adalah aurat. Sekali melangkah keluar akan ada seribu fitnah yang akan mengekori sejak dari muka pintu. Saya juga sedang bermujahadah dalam urusan dunia ini, walau hakikatnya saya tidak punya alasan yang kukuh untuk dibawa dihadapan DIA kelak, mudah-mudahan DIA sudi untuk mengampuni dan memberi rahmat-Nya.

Semoga ketemu disyurga kelak, aduhai sang mutiara indah...
Seeru 'alabarakatillah...

Tiada ulasan: