Selasa, 22 Julai 2014

Salam Ramadhan

Assalamualaikum…

Melalui hari-hari terakhir dalam Ramadhan. AllahuAkbar, cepatnya masa berlalu. Untuk ramadhan ini, seakan menghitung hari, berharap agar Ramadhan tidak berlalu pergi. Bagai terngiang-ngiang di telinga setiap kali berbuka puasa, kata-kata tentang salah satu dari tiga golongan yang rugi dalam kehidupan seperti yang diungkapkankan oleh Rasulullah sallallahu’alayhiwasallam “alangkah ruginya orang yang melalui Ramadhan, tetapi tidak diampunkan dosanya”.

Allahu Allah.

Tertanya-tanya adakah dosa yang telah lalu diampunkan? Bagaimana keadaannya bila Ramadhan berlalu dan diri melakukan dosa yang sama, akan sempatkah untuk bertemu dengan Ramadhan yang seterusnya untuk meraih kembali rahmatNya.

Maaf teman, lidah hilang bicara, bahasa hilang makna untuk mencatat sesuatu di sini. Terlalu banyak kedukaan yang berlaku dalam Ramadhan ini. mudah-mudahan ianya menjadi kaffarah dosa dan memperbaiki diri dalam pandangan Illahi.

Tidak tahu untuk bermula di mana dalam berkisah tentang umat ini. Terasa kerdilnya diri sebagai hamba Dia. Tiada daya dan Upaya melainkan dengan izin-Nya. Setiap kali tangan diangkat untuk mendoakan saudara yang dalam kesusahan, dalam hati berbisik “bahkan akulah yang lebih layak didoakan oleh mereka”.

 Benar teman, terlalu banyak dosa yang dilakukan oleh diri, sesekali ujian menyinggah, lebih banyak keluhan yang dititipkan kepada Dia berbanding dengan rasa syukur. Apabila melihat saudara-saudara yang hebat di uji,terasa kerdilnya dirinya. Ujian yang berat hanya untuk orang yang hebat bukan?

Tidak ada analisis dari saya. Setiap kali mengingatkan mereka yang berada dalam situasi yang getir, saya yakin Allah Maha Tahu keadaan mereka. Apabila Allah ta'ala ingin meninggikan darjat sesuatu kaum, Dia akan berikan kemenangan kepada mereka walau dengan bekal hanya sedikit. 

Kita akan lebih penat apabila memikirkan tentang salah siapa. Kadangkala cukup untuk tahu siapa yang benar bagi membolehkan kita meneruskan saki-baki kehidupan ini. Kekallah dalam menyokong kebenaran, kerana akhirnya, kita akan bertemu Tuhan pemilik kebenaran. 


Moga-moga di baki-baki hari dalam Ramadhan ini melayakkan kita untuk dikenal sebagai hamba-Nya yang bertakwa. Jangan berhenti berharap, jangan putus berdoa. Saudara kita yang sedang diuji sekarang telah dijanjikan dua kegembiraan, menang atau syahid. Semoga dengan sebaris doa yang diungkapkan buat mereka membolehkan kita bersama-sama dengan mereka di taman-taman syurga kelak. Allahumma aminn..


Ramadhan Kareem...
*Semoga kita di izinkan untuk mendapat malam Al-Qadar. 

Tiada ulasan: