Rabu, 18 Disember 2013

I’m On Diet…




Assalamualaikum wbt teman…

Saya tak pasti siapa yang selalu berkunjung di sini. Maaf kerana selalu menjadikan post disini seperti chipsmore,sekejap ada, sekejap tak ada. Dan errr, terus tak ada^^”…

Hmmm, alangkah baiknya sekiranya setiap dosa kepada Alah ‘AzzawaJala semudah memadam tulisan disini. Teringat pesan Saidina Umar r.a berkenaan 10 kesan dosa, salah satunya, ianya menjadi penyesalan yang berpanjangan buat si pelakunya, walaupun setelah taubat. Memahami disebalik pesanannya, benar sekali apabila menyedari dosa yang dilakukan bukan pada sebarang orang tetapi kepada DIA yang MAHA SEMPURNA,AL-MALIKUL MULK. Allahu Rabbi, sungguh kita ini sangat mengharapkan sifat RAHIM-NYA diakhirat kelak. Sertakan saya sekali dalam doa kalian agar diselamatkan dari huru hara di Padang Mahsyar.

Sekadar berkongsi dari pemerhatian hamba yang dha’if,melihat sesetengah individu yang sangat bersungguh-sungguh untuk mendapatkan bentuk badan idaman, ermm, saya rasa lelaki dan wanita sudah berada di par yang sama dalam hal ini,membuatkan diri terfikir, betapa eloknya sekiranya kita turut memperhatikan keperluan spiritual kita sebagaimana kita sanggup berhabis ratus dan ribu duit untuk menjaga jasad yang bila-bila masa akan bertukar menjadi jenazah.

Sungguh teman. Ramai yang sanggup menahan diri dari memakan itu ini, mendapatkan nasihat pakar, mengambil supplement semata-mata untuk memastikan impian tubuh idaman tercapai. Tetapi berapa ramai yang sanggup meninggalkan tabiat mengumpat atau nama glamournya “gossip”,berapa ramai yang sanggup menjaga pandangannya dari memandang yang haram, tidak kira secara langsung atau melalui sinetron, drama-drama melayu & korea, dan segala jenis rancangan yang ada di TV yang insyaAllah saya sangat yakin, sangat kurang nilai baiknya, apatah lagi nilai agama. Berapa ramai antara kita yang menjadikan tabiat untuk solat dua rakaat setiap kali ditimpa masalah, berapa ramai yang sanggup mencari ustaz/ah untuk menambah ilmu agamanya & memperbaiki amalnya.

Cuba ajukan kepada orang disekelilingmu teman. Sejauhmana mereka sanggup mujahadah menahan nafsu ammarah bissu’ berbanding meninggalkan segala perkara yang dipandang akan mencacatkan jasad mereka.
Allah ya Allah…

Betapa kita hidup dalam kekeliruan. Hidup menjadi caca merba, tunggang terbalik apabila kita mula meninggalkan Islam. Jasad yang akan menjadi debu-debu tanah ini ditatang, sedangkan roh yang akan dibawa mengadap Tuhan dibiarkan. Ingat teman, Islam datang untuk menyusun hidup kita, mengaturnya dengan sistem dari Illahi. Mendidik kita untuk menjadi manusia dalam erti yang sebenarnya. Manusia yang mula meninggalkan Islam diumpamakan Allah ‘AzzawaJalla didalam Al-Quran seperti binatang ternak, bahkan lebih teruk dari itu, kerana anugerah akal yang dikurniakan-Nya digunakan bukan untuk memperbaiki diri dalam beribadat kepada-Nya.

Maaf, bukanlah membakulkan sampahkan amalan tersebut secara total. Sudah pastinya ada kebaikan yang sangat banyak dalam soal menjaga tubuh badan yang zahir ini, lebih-lebih lagi Allah memberi pinjam batang tubuh ini untuk memudahkan kita beribadah kepada-Nya. Barang pinjam mestilah kena jaga elok-elokkan?
Tulisan ini untuk kita saling melihat kedalam diri sendiri. Sejauhmana kita menjaga kesihatan roh kita seperti mana kita menjaga batang tubuh yang zahir. Sungguh ironi bila mendengar kata-kata seorang hamba Allah bila diajak untuk makan mengatakan “saya kena jaga makan sekarang ni, berat badan dah naik” tetapi kemudiannya ralit bergosip, bercerita aib orang itu ini.

Alangkah baiknya jika kita mampu mengungkap perkara yang sama bila diajak bersembang tentang keburukan orang lain “saya kena jaga mulut sekarang ni, dosa dah sangat banyak”.
  
InsyaAllah, sama-sama muhasabah. Jika kita sanggup untuk menjaga itu ini dalam soal makan, sedikit demi sedikit kita mulakan diet untuk keperluan kesihatan roh.
Lepas ni bila terdengar bicara yang menjurus kepada sesuatu yang Allah Ta’ala tak suka cepat-cepat menjauh.

Bila teringin untuk menonton tv, paksa diri untuk membiasakan mata melihat rancangan yang menambah ilmu, bukan sekadar menambah seronok. InsyaAllah lama-kelamaan ilmu itu akan membuatkan kita menjadi seronok. 

Ingat teman, jasad yang dijaga & ditatang, tanpa mempedulikan keadaan rohnya, suatu saat akan hancur bersemadi didalam tanah, tetapi bagi mereka yang sibuk menjaga keadaan rohnya dan bersederhana dalam menjaga jasadnya, walaupun selepas roh berpisah dengan jasad, jasad itu akan dijaga oleh Allah Ta’ala.
Salam rindu,
Dari teman yang jauhJ
p/s: saya juga sedang on diet..daripada menulis…

Tiada ulasan: